Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan sekitar Gombak pada 14 Mei 2020. Foto KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

KPDNHEP terima 5,142 aduan harga barang naik sejak PKP dilaksana

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 70,689 aduan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dengan 5,142 daripadanya adalah berkaitan kenaikan harga barang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata susulan aduan kenaikan harga barang, kementeriannya telah memeriksa 214,760 premis perniagaan di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

“Hasil pemeriksaan, 4,743 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga barang,” katanya ketika mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 menerusi laman Facebook KPDNHEP hari ini.

Mengenai kenaikan harga bawang, Nanta berkata 302 notis pengesahan maklumat barangan telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menaikkan harga bawang di peringkat peruncit, pemborong dan pengimport.

“Ini bagi membolehkan KPDNHEP mengesan punca kenaikan yang berlaku dan menyiasat sekiranya wujud aktiviti pencatutan dalam kalangan peniaga,” katanya serta menambah KPDNHEP memandang serius kenaikan harga secara tidak terkawal termasuk isu harga bawang.

Nanta berkata KPDNHEP juga telah melaksanakan pemantauan bekalan bawang ke atas 2,711 peruncit terpilih dan 1,039 pemborong terpilih.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung barangan import dan mengesan sama ada berlakunya pengurangan barang berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :