Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan ketika Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kukuhkan PAKATAN, tingkat kerjasama antara parti pembangkang

SHAH ALAM, 20 DIS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pembangkang.

Pengarah komunikasinya berkata parti itu sentiasa mendukung prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat serta kini PAKATAN.

Fahmi Fadzil berkata prinsip berkenaan didukung sejak penubuhan KEADILAN pada 1999 sebelum menempuh pilihan raya umum (PRU) pada tahun sama diikuti empat lagi kemudiannya.

“Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendokong agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara.

“Oleh itu, KEADILAN akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama selain meneruskan persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, ahli parlimen Lembah Pantai menjelaskan kerjasama dalam kalangan pembangkang dilakukan semasa sesi parlimen lalu.

Menurutnya, ketua pembangkang juga menjemput semua wakil parti pembangkang untuk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021.

Terdahulu, KEADILAN mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan bagi membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola dan keadaan politik semasa.

Melalui perbincangan itu, Fahmi berkata pimpinan diarah meneliti isu rakyat membabitkan pengangguran, harga barang dan ekonomi yang kekal suram ketika Covid-19.

Beliau menambah mesyuarat turut mengulangi komitmen yang termaktub dalam perlembagaan parti bahawa minima 30 peratus anggota wanita KEADILAN diutamakan dalam penetapan calon dan lantikan politik.

“Secara prinsipnya, KEADILAN berpegang teguh kepada usaha mengupayakan wanita termasuk di dalam bidang politik,” katanya.


Pengarang :