AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kursi MBI, peluang penjawat awam lanjut pengajian tinggi

SHAH ALAM, 5 DIS: Program Kursi Menteri Besar Incorporated (MBI) yang julung kali diperkenal menyediakan peluang kepada penjawat awam melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Penubuhannya bertujuan memperkasa pengajian tinggi dalam aspek kajian dan penyelidikan ekonomi, kewangan serta keusahawanan.

Seramai 10 penjawat awam yang terpilih diberi pengecualian yuran pengajian selama tiga semester di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Naib Canselornya Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata jurusan yang ditawarkan adalah keusahawanan, ekonomi, kewangan atau pentadbiran perniagaan.

“Perbincangan sudah dilaksanakan dan kursi ini diberi nama Kursi Menteri Besar Incorporated. Kita berharap semua pihak yang terlibat akan mendapat timbal balik melalui ilmu dan pengalaman masing-masing melalui kursi ini,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Justeru, beliau mengajak penjawat awam negeri dan kakitangan anak syarikat Kerajaan Selangor untuk merebut peluang yang diumumkan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2021.

Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman

“Saya harap kakitangan Kerajaan Negeri mengambil peluang ini untuk melanjutkan pengajian dalam program yang kami tawarkan di bawah SPE. Mereka bukan sahaja akan belajar di UPM tapi akan berkongsi pengalaman dan idea berhubung industri luar kepada kami terutamanya pelajar lain.

Mohd Roslan yakin penubuhan kursi ini membantu UPM melahirkan penyelidik yang mahir dalam bidang pentadbiran perniagaan, ekonomi dan keusahawanan.

“Kursi ini juga berupaya meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat dalam bidang berkaitan. Penubuhannya memperkasa pendidikan tinggi dan penyelidikan jangka panjang di Selangor,” katanya.

Untuk itu, seorang ahli akademik tersohor dalam bidang pentadbiran perniagaan, keusahawanan atau ekonomi dari institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara akan dilantik melalui kursi ini. Ia bertujuan membantu MBI dan SPE UPM dalam memperkasa ilmu melalui seminar serta bimbingan.

Individu yang memenuhi kriteria pelantikan, walau bukan dalam kalangan ahli akademik, juga boleh dilantik melalui perakuan Jawatankuasa Pemilihan (Profesor) UPM.

Selain itu, UPM juga akan menawarkan tenaga pengajar SPE untuk mengajar sambilan di Selangor Business School (SBS) bagi satu kursus setiap semester.

Ia turut membabitkan Kerjasama antara SPE UPM, MBI dan SBS melalui geran penyelidikan berkaitan bidang pentadbiran perniagaan, keusahawanan serta ekonomi.

 

 


Pengarang :