Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 1,400 pesakit Covid-19 sembuh, atasi kes baharu

SHAH ALAM, 25 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini memaklumkan seramai 1,441 pesakit Covid-19 sembuh, mengatasi bilangan kes baharu iaitu 1,247.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 82,540 kes atau 81.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu setakat ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan jumlah kes pula sebanyak 101,565 kes dengan 18,576 daripadanya kes aktif.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan luar negara manakala selebihnya penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 461 kes atau 37.0 peratus dengan 309 daripadanya melalui kluster dan saringan kontrak rapat.

Dr Noor Hisham berkata Sabah merekodkan sebanyak 225 kes atau 18.0 peratus sementara Johor pada kedudukan ketiga sebanyak 205 kes (16.4 peratus).

“Sebanyak 211 kes (16.9 peratus) pula berkaitan kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86), Kluster Tembok (lapan) dan Kluster Pompod (empat),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 108 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 47 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. Tiga kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang maut sebanyak 449 kes.

 


Pengarang :