Mohd Hilmi Halim, 24, menyemak dokumen peribadinya secara dalam talian ketika menunggu giliran temu duga dalam program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 5,000 jawatan menanti pencari kerja di Shah Alam hujung minggu ini

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 5,143 jawatan menanti pencari kerja sempena penutup siri Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Seksyen 6 di sini pada 5 dan 6 Disember.

EXCO pembangunan generasi muda berkata kekosongan jawatan meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan, profesional dan pendidikan yang ditawar berdasarkan kelayakan.

“Kerajaan Negeri berharap pemohon membuat persediaan rapi untuk menghadiri sesi temu duga seperti datang awal, berpakaian kemas dan membawa dokumen secukupnya.

“Pemohon disaran mencuba peluang lain yang ditawarkan dalam program berlangsung selama dua hari ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sebanyak 34 majikan mengendalikan proses temu duga secara fizikal dan maya dengan hanya 9,696 pemohon yang berdaftar di portal JobsMalaysia dijemput menghadiri siri jelajah itu.

“Kerajaan Negeri juga merancang untuk mengadakan karnival kerjaya secara besar-besaran sebaik sahaja situasi Covid-19 pulih,” katanya.

Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.


Pengarang :