EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (tengah) bersama sebahagian pelajar India kategori B40 yang menerima Cek Bantuan Yuran Pengajian (BYP) pada 10 Disember 2020. Foto V Ganabatirau
EXCOSELANGOR

Lebih RM600,000 bantu pelajar India B40 sambung pengajian

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM609,960 bagi membantu pelajar India daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata seramai 139 pelajar menerima manfaat melalui tiga fasa Program Cek Bantuan Yuran Pengajian (BYP).

“Program BYP khusus untuk membantu anak pekerja ladang tetapi melihat kepada keperluan rakyat Selangor yang kian terjejas susulan Covid-19, Kerajaan Negeri menambah baik program dengan menyalurkan bantuan ini kepada pelajar India yang layak daripada golongan B40.

“Kerajaan Negeri berharap dengan pemberian insentif ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos yuran pengajian yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan tersebut diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama atau diploma di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan politeknik tempatan.


Pengarang :