AGENDAEKONOMINASIONAL

Lebuhraya EKVE dijangka siap suku ketiga 2021

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pemaju Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), EKVE Sdn Bhd (EKVESB), berkata projek itu dijangka siap pada suku ketiga 2021 walaupun lewat daripada jadual berikutan pandemik Covid-19.

Lebuh raya sepanjang 36.1 kilometer itu mencapai kira-kira 80 peratus dari segi kemajuan pembinaan walaupun aktiviti terhenti selama lebih dua bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baki 20 peratus daripada kemajuan kerja termasuklah pembinaan jambatan, turapan jalan, sistem kutipan tol (TCS), sistem pengawasan kawalan trafik (TCSS), bangunan plaza tol dan lampu jalan,” menurut seorang jurucakap syarikat kepada Bernama.

Beliau berkata selain mematuhi tatacara operasi piawai yang dikenakan oleh kerajaan, syarikat menambah jumlah pekerja secara berperingkat selepas ia menyambung semula kerja pembinaan pada Mei lepas.

“Setakat ini, jumlah pekerja pembinaan di tapak seramai 350 orang. Kami menambah jumlah pekerja secara berperingkat untuk mempercepatkan kerja pembinaan. Kami akan berkongsi lebih banyak berita dalam masa terdekat,” katanya.

EKVE adalah sistem lingkaran jalan raya berbentuk orbit di Greater Kuala Lumpur (KL) dan membentuk bahagian timur Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur.

Lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan menyediakan jalan pintas untuk trafik utara-selatan tanpa memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, seterusnya mengurangkan kesesakan.

Antara kelebihannya, EKVE menggalakkan urbanisasi yang seimbang di Greater KL untuk mengekalkan pertumbuhan yang pesat, menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat Selangor, terutamanya Kajang dan Hulu Langat, menyediakan hubungan antara pusat bandar dan memastikan pengagihan pendapatan yang saksama.

Lebuh raya itu akan menjadi lebuh raya bertol dengan dua laluan antara Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana, dengan jarak laluan utama 24.16 km dan 12 km jalan susur.

EKVESB adalah anak syarikat milik penuh Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB), sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Ia mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja awam dan pembinaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :