AGENDANASIONAL

LHDN: MyTax kurangkan ketirisan, tingkat hasil kutipan

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Pusat gerbang maklumat dan pusat sehenti bagi pembayar cukai, MyTax yang dilancarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini mampu mengurangkan ketirisan sekali gus meningkatkan kutipan hasil kepada negara.

Pengarah Jabatan Operasi Cukai Datuk Adenan Che Semail berkata MyTax itu menyediakan capaian perkhidmatan yang selamat serta mesra pengguna, ia membolehkan akses kepada semua produk dibawah LHDN.

“Penggunaan MyTax ini juga akan memudahkan urusan pembayar cukai untuk mengakses maklumat terkini mereka tanpa perlu datang ke pejabat LHDN terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini.

“MyTax dicipta dengan mengutamakan perlindungan maklumat pembayar cukai dan penciptaan produk baharu LHDN ini adalah merupakan kebanggaan kami sebagai agensi pemungut cukai bagi kerajaan,” katanya pada program Ruang Bicara bertajuk “Mytax – Gerbang Informasi Percukaian” yang disiarkan di Bernama TV, malam tadi.

MyTax dibangunkan LHDN untuk memudahkan orang awam terutama pembayar cukai bagi mengakses pelbagai maklumat termasuklah transaksi lejar, status bayaran balik dan potongan cukai bulanan.

Pada 19 November lepas, LHDN melancarkan tiga produk percukaian baharu iaitu Buku Pelan Korporat LHDN 2021-2025 yang juga manifestasi pelan dan strategi lima tahun agensi itu serta MyTax.

– BERNAMA


Pengarang :