Petugas LZS mengadakan bancian baru individu terjejas Covid-19 menerusi Program Mini Skuad Jejak Kemiskinan, Taman Putra Perdana, Sepang pada 6 Disember 2020. Foto LZS
AGENSISELANGOR

LZS peruntuk lebih RM40 juta bantu asnaf ketika PKPB

SHAH ALAM, 12 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM43.31 juta membantu asnaf sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh 8 Oktober hingga 18 November lalu.

Agensi berkata jumlah itu membabitkan bantuan kewangan dan makanan, perubatan, dialisis, sewa rumah dan keperluan hidup.

“Bantuan kewangan serta makanan paling tinggi sebanyak RM28.7 juta dan ia diagihkan kepada 35,960 asnaf fakir miskin dan mualaf.

“LZS turut mengeluarkan dana RM7 juta bagi membantu 13,752 keluarga asnaf membayarkan sewa rumah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 seorang kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di samping sumbangan maksimum sehingga jumlah sama kepada 20,000 penerima terdiri penjaja dan peniaga kecil serta keluarga golongan B40.

LZS turut mengagihkan bantuan khas berjumlah RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.


Pengarang :