Selangorkini
Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni kakitangan Syarikat I&P Group Sdn Bhd di Puchong yang terjejas akibat Covid-19 pada 18 Disember 2020. Foto Facebook LZS
AGENSI SELANGOR

LZS santuni pekerja terjejas Covid-19 di Puchong

SHAH ALAM, 19 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter di Syarikat I&P Group Sdn Bhd di Puchong, semalam bagi menyantuni pekerja yang terjejas akibat Covid-19.

Agensi berkata langkah itu sebagai usaha menjejak individu terkesan menerusi Program Mini Skuad Jejak Kemiskinan.

“Syarikat ini membuat potongan gaji untuk bayaran zakat pekerjanya. Akibat Covid-19 ada antara kakitangan yang terjejas teruk.

“Susulan itu LZS Petaling membuka empat kaunter bagi menyantuni 11 pekerja terkesan manakala pekerja yang tidak hadir akan dihubungi melalui panggilan telefon,” katanya menerusi Facebook.

LZS memaklumkan syarikat itu turut memberi sumbangan kepada pekerja terlibat menerusi wakalah agihan bagi meringankan beban ditanggung.

“Semoga dengan usaha ini akan dapat membantu mereka yang terkesan. Terima kasih kepada pembayar zakat,” katanya.


Pengarang :