Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) memakai PPE ketika menyampaikan sumbangan kepada penghuni Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi pada 30 Disember 2020. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS santuni penduduk Medan 88 terjejas PKPD

SHAH ALAM, 31 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni penghuni Pangsapuri Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Agensi berkata pihaknya menyalurkan bantuan keperluan asasi daripada pelbagai agensi kepada penduduk yang terputus bekalan akibat pergerakan yang terhad dan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh itu.

“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan dijalankan, didapati 37 penghuni disyorkan bantuan kecemasan dan tunggakan sewa bilik atau rumah, selain bantuan barangan asas secara berkala melalui pelbagai agensi berkaitan.

“Membuka peluang pekerjaan dari agensi atau syarikat berkaitan dan membuat syor agar mereka dimasukkan ke dalam skim Bantuan Alternatif Insan Terkesan (Bait),” katanya menerusi Facebook.

LZS menambah penyampaian bantuan dibuat dengan mengambil kira tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai peralatan pelindung peribadi (PPE).

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.


Pengarang :