Wakil daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) , Prof Dato’ Dr Mujaini Tarimin (tiga, kiri) menyerahkan barangan bantuan kepada Pengerusi Madrasah Darul Islah, Mohd Azrai Ahmad Shuhod (kiri) ketika majlis Serahan Bekalan Makanan Kering Dan Persekolahan kepada Penghuni Rumah Pemulihan Riqab di Madrasah Darul Islah Sungai Serdang, Klang pada 25 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais tanggung kos rawatan kesihatan 1,000 penghuni rumah pemulihan

KAPAR, 25 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan RM1.9 juta bagi menampung kos rawatan kesihatan 1,000 penghuni Rumah Pemulihan Riqab (RPR) di seluruh negeri ini.

Anggota Mais, Prof Dato’ Dr Mujaini Tarimin berkata sumbangan membabitkan penghuni daripada 26 rumah pemulihan berkenaan akan diagihkan pada tahun depan.

“Bantuan Pemulihan Sukuan Keempat ini adalah peruntukan tahun 2020 tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita terpaksa tangguhkan ke tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bekalan Makanan Kering dan Barangan Sekolah kepada RPR di Madrasah Darul Islah, di sini.

Pada majlis itu, tujuh RPR menerima bantuan makanan kering seperti beras, tepung gandum, gula, minyak masak, bihun, kicap dan susu bagi meringankan beban pihak pengurusan yang terkesan pandemik Covid-19.

Sumbangan fasa kedua itu dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam sehingga 28 Disember meliputi Klang, Petaling, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.


Pengarang :