Anggota Tentera Malaysia (ATM) mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Tropicana ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan digesa sedia penginapan lebih selesa kepada pekerja

SHAH ALAM, 5 DIS: Majikan perlu menyediakan penginapan lebih selesa dan tidak sesak kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengelak penyakit berjangkit.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata langkah itu selaras Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Rodziah Ismail menjelaskan ia ditambah peningkatan kes harian Covid-19 yang melangkaui unjuran Institut Kesihatan Negara Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita memandang serius isu penginapan warga asing yang didakwa agak sempit dan sesak. Pihak majikan perlu segera memainkan peranan lebih besar dalam menanganinya,” tulisnya di Facebook.

Wakil rakyat Batu Tiga berkata warga asing tidak harus disisih dan distigmakan, sebaliknya perlu dibantu untuk mengurangkan penularan Covid-19.

Rodziah berkata tenaga kerja baik tempatan mahupun asing adalah aset berharga sesebuah syarikat mahupun organisasi yang harus dijaga.

Pada 1 Disember, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia membuka 19 kertas siasatan terhadap enam kumpulan syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka yang gagal mematuhi Akta 446.

Di bawah akta terbabit, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan.


Pengarang :