Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Majikan diseru kerjasama saring Covid-19 pekerja asing – menteri

SHAH ALAM, 15 DIS: Majikan diseru memberi kerjasama untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja warga asing bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kegagalan berbuat demikian memberi kesan lebih besar termasuk kerugian apabila kilang mereka ditutup sekiranya pekerja didapati positif Covid-19.

“Kita meminta peguam negara untuk melihat perundangan yang ada supaya kita boleh ambil tindakan kepada majikan yang enggan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kesihatan  (KKM) dalam membuat saringan Covid-19 terhadap pekerja.

“Kepada majikan, mereka tidak perlu tunggu sehingga tindakan diambil kerana apa yang kita buat adalah untuk kepentingan bersama supaya tidak berlaku jangkitan (Covid-19) dan penutupan kilang,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan hampir 17,000 pekerja asing di Wilayah Persekutuan, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah disaring sejak 1 Disember lalu sehingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu 555 individu dikesan positif wabak manakala selebihnya negatif.

“Sebanyak 663 kilang atau industri terlibat dan 652 klinik bekerjasama dengan KSM dalam menjalankan proses saringan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata seramai 888,342 pekerja asing di semua negeri terbabit diminta untuk menjalani saringan Covid-19.

Katanya, ia sebagai pelan tindakan dan mekanisme awal dilakukan KSM selepas kerajaan memutuskan supaya semua pekerja asing di negara ini perlu berbuat demikian.

 


Pengarang :