Pengguna 70 kawasan di Hulu Langat yang bergantung bekalan dari LRA Semenyih 2 sudah menerima air bersih sepenuhnya pada pukul 9 malam 20 Disember 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majoriti dapat bekalan air semula, tiga wilayah pulih minimum 80 peratus

SHAH ALAM, 9 DIS: Hampir semua kawasan terjejas bekalan air akibat pencemaran sungai semalam pulih melebihi 80 peratus setakat jam 3 petang tadi.

Empat wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Hulu Selangor dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya, sementara Kuala Langat pula dapat bekalan hingga 90 peratus.

“Sehingga jam 3 petang tadi, bekalan air telah stabil di 791 dari 861 kawasan (91.9 peratus) yang terjejas,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Usaha menstabilkan agihan bekalan air terus giat dilakukan bagi memastikan 70 kawasan yang masih lagi terjejas mendapat bekalan air.

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri memaklumkan wilayah Klang/Shah Alam pulih 87.7 peratus, sementara Gombak mencapai 83 peratus.

Air Selangor menambah bantuan bekalan alternatif melalui pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) masih disediakan untuk kemudahan pengguna.

Ia turut menasihatkan pengguna mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat semasa mengambil air dari lori tangki, PKS dan pili awam.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor tengah malam semalam.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :