AGENDANASIONAL

Malaysia perlu akta antilompat parti, elak gugat kestabilan kerajaan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia perlu menggubal satu undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti bagi mengatasi “pandemik politik” dalam negara, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar.

Beliau berkata kes-kes lompat parti yang kerap berlaku dalam kalangan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh lagi dibiarkan berterusan kerana ia menggugat kestabilan kerajaan.

“Selain itu perbuatan lompat parti itu juga akan membawa kepada amalan rasuah,” katanya dalam satu program wawancara di saluran berita Astroawani semalam.

“Apabila mereka melompat dari satu pati ke parti yang lain, ia juga boleh membawa kepada tumbangnya sebuah kerajaan yang memerintah, dan mereka melakukan ini kerana mereka dibayar untuk melakukannya,” katanya.

Akhbar berkata berdasarkan ‘Global Corruption Barometer 2020’ yang dijalankan oleh Transparency International (TI), ahli parlimen adalah antara kumpulan yang paling terdedah kepada rasuah.

“Sekiranya ahli politik dipandang sedemikian rupa, dan dilihat sebagai mereka yang memiliki standard serta integriti yang rendah, ini mencerminkan keadaan negara hari ini dan juga generasi masa depan,” kata Akhbar, yang merupakan bekas Presiden TI-Malaysia dalam wawancara yang diadakan sempena Hari Anti Rasuah.

Beliau seterusnya berkata undang-undang mengenai dana politik bagi ‘semak dan imbang’ risiko rasuah dalam kalangan ahli politik yang telah lama diperdebatkan, juga perlu digubal segera, tanpa bertangguh lagi.

Akhbar berkata undang-undang sedemikain akan menjadi cara yang berkesan untuk membendung penyalahgunaan kuasa dan pendanaan politik yang tidak terkawal.

“Kita mendapati ada sebahagian besar sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Ini adalah perbuatan keji dan pecah amanah. Kita memang amat memerlukan Akta Pembiayaan Politik ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :