Foto menunjukkan suhu sesuai bagi menempatkan vaksin Covid-19 dalam kotak ais khas Pfizer di makmal syarikat Desmon SPA di Nusco wilayah Campania, Itali pada 27 November 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Malaysia tinjau hasil kesan guna vaksin Covid-19 di UK – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 2 DIS: Malaysia melihat kepada tahap keberkesanan, kesan sampingan dan kualiti vaksin Covid-19 yang digunakan di United Kingdom (UK) sebelum membuat sebarang keputusan tentang penggunaannya di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya pada tiga bulan pertama penggunaan vaksin tersebut di UK memberangsangkan dan kurang dokumentasi mengenai kesan sampingan, ia akan lebih meyakinkan Malaysia untuk menggunakan vaksin berkenaan.

“Apapun kita akan tunggu laporan ujian klinikal fasa tiga yang masih belum kita lihat dan belum dikaji sepenuhnya dan kita perlukan data-data sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perjanjian kita adalah vaksin tersebut perlu dan mesti didaftarkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata UK akan menjadi negara pertama menggunakan kaedah darurat untuk penggunaan vaksin Covid-19 dengan dijangka sebanyak 40 juta dos vaksin akan diterima negara itu.

“Jadi kita ada masa untuk melihat penggunaan vaksin tersebut dalam kalangan penduduk di UK dan mungkin akan ada negara-negara lain yang menggunakan klausa tersebut iaitu menggunakan vaksin berkenaan secara kaedah darurat dan tidak mendaftarkan vaksin tersebut dalam badan pengawal selia mereka,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Namun, katanya di Malaysia tidak ada pengecualian dari segi pendaftaran vaksin secara darurat dan masih perlu melalui proses-proses sebagaimana yang telah ditentukan dalam akta bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.

Vaksin keluaran BioNTech Jerman dan rakan kongsinya di Amerika Syarikat (AS), Pfizer dibenarkan untuk penggunaan darurat di UK oleh Medicines and Healthcare products Regulatory Authority (MHRA).

-BERNAMA


Pengarang :