Mangsa banjir, Rozaiman Ibrahim, 34, (kanan) bersama isterinya Nor Ellham Mohamed, 31 (kiri), dan anak mereka, Aira Qhhaisara, 1, tengah) duduk di hadapan rumah ibu mereka yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Banggol, pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat berikutan hujan berterusan di kebanyakan kawasan di kedua-dua negeri berkenaan.

Kuala Krai menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan selepas 90 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 8 pagi ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 28 mangsa ditempatkan di PPS Masjid Lama Keroh, Kuala Krai, SK Bedal (31), SK Chenulang (28) dan (tiga) di Masjid Abu Bakar Tanjong Kala.

Di Tanah Merah, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 39 mangsa daripada 12 keluarga berbanding 18 mangsa malam tadi dan daripada jumlah itu seramai 12 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang, (15) Sk Kelewek dan (12) di Balai Raya Padang Kijang.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) (http://publicinfobanjir.water.gov.my) setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.01 meter (m) (bahaya 9 m) dengan trend menaik, manakala Sungai Golok di Jenob Tanah Merah menunjukkan bacaan 22.88 m iaitu melepasi paras amaran (amaran 22.5 m).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Imran Ismail berkata paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang ketika ini meningkat disebabkan sesekali hujan lebat di kawasan berkenaan dengan menunjukkan trend air menaik dari semasa ke semasa.

“Peningkatan paras air sungai berlaku kerana Sungai Golok menerima taburan sesekali hujan lebat di daerah ini selain di Hulu Golok dan ini merupakan catatan bacaan tertinggi buat masa ini,” katanya.

Di Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatatkan paras bacaan melebihi waspada iaitu 56.97 m (waspada 56m) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pula mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 13.94 m (waspada 12 m) dengan trend menaik.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus bertambah kepada 275 orang daripada 81 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 56 orang daripada 16 keluarga pada 6 petang semalam.

Banjir gelombang keempat yang bermula di Kemaman semalam kini melibatkan tiga lagi daerah iaitu Besut, Setiu dan Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ketika ini terdapat lapan PPS dibuka di daerah terlibat iaitu empat di Kemaman, dua di Setiu, masing-masing satu di Besut dan Dungun.

“Di Kemaman, jumlah mangsa terus bertambah kepada 203 orang daripada 56 keluarga manakala di Setiu mangsa seramai 31 orang daripada 15 keluarga.

“Di Dungun, jumlah mangsa adalah 23 orang daripada empat keluarga manakala di Besut, seramai 18 orang daripada enam keluarga,” katanya, menambah hujan renyai dan kadang-kala lebat masih berlaku di kebanyakan kawasan pedalaman di negeri berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 19.20m melebihi paras bahaya 18.5m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu pula setinggi 21.53m berbanding paras bahaya 21m.

Selain itu, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu setinggi 19.81m mengatasi paras bahaya 19.70m dan Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.54m berbanding paras bahaya 35m.

– BERNAMA


Pengarang :