BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Masjid Diraja suburkan syiar Islam

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memelihara kesucian dan perkembangan Islam. Sultan sebagai ketua agama memastikan kegiatan keagamaan terus subur.

Di Selangor, terdapat 424 masjid yang dikategori sebagai masjid negeri, masjid diraja, masjid jamek (daerah), masjid kariah dan masjid institusi. Setiap satu ada cirinya tersendiri khasnya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai masjid negeri.

Rancangan membina masjid tersebut bermula pada 1975. Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menitahkan supaya masjid negeri baharu dibina berikutan Shah Alam diisytihar sebagai ibu negeri. Masjid itu siap dibina pada 15 Ogos 1987 dan dirasmikan baginda pada 11 Mac 1988 dalam istiadat gilang-gemilang.

Dikenali ‘masjid biru’ berikutan kubahnya berwarna demikian, ia dibina di kawasan seluas 14.6 hektar di pusat bandar Shah Alam. Masjid yang boleh memuatkan 12,600 jemaah memiliki ciri-ciri seni bina menarik dengan hiasan dalaman menakjubkan. Masjid tersebut terbesar Asia Tenggara. Kubahnya juga terbesar manakala menaranya antara tertinggi di dunia.

Masjid Diraja Sultan Suleiman juga memiliki sejarahnya tersendiri. Ia dibina pada 11 September 1932 sempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri yang baharu ketika itu.

Masjid itu pernah dijadikan masjid negeri sebelum Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah siap. Diasaskan Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, ia dibina pada 1932.

Nama asalnya Masjid Sultan Suleiman Jamiur Rahman tetapi ditukar kepada Sultan Suleiman yang merasmikannya pada 11 September 1932. Terletak di tanah seluas 1.01 hektar, ia mampu memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Berciri seni bina Mongul hasil cetusan arkitek British, Leofric Kesteven, masjid itu disenarai sebagai Warisan Negara mengikut Akta Warisan Negara 2005 (Akta 645) pada 2012.

Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pula dibina pada 2 Mei 2010 di tanah yang diwakaf Almarhum Sultan Salahuddin dan dirasmikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Mac 2013. Masjid di tanah luas 2.07 hektar mampu memuatkan 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Sesuai dengan taraf masjid diraja, ia antara masjid yang menjadi pilihan Sultan Sharafuddin untuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Hari Keputeraan baginda.

Reka bentuknya berciri binaan tradisional Islam Timur Tengah dengan ukiran ayat al-Quran di pintu masuk utama. Di dewan solat utama, terhampar permaidani merah dan lampu ‘candeliar’ mirip kebanyakan masjid besar di Istanbul, Turki.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya pula dibina pada 20 Mac 2013 dan dirasmikan Sultan Sharafuddin pada 22 Jun 2016. Didirikan di tanah seluas 7.11 hektar, ia mampu memuatkan 8,300 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid itu berciri seni bina moden tetapi terdapat unsur ukiran kayu tradisional Melayu Besut Terengganu yang menampilkan corak bunga semarak api dan kaligrafi al-Quran. Namanya bersempena nama Raja Haji Daeng Chelak, bapa kepada Raja Lumu yang juga pengasas Kesultanan Selangor pada 1746.

Masjid Sultan Abdul Aziz Pulau Indah di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah diasaskan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah. Ia dibina pada 1 Januari 1977.

Masjid itu berkeluasan satu hektar dan mampu memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa. Baginda merasmikannya pada 5 Mac 1999, kira-kira sebulan sebelum ditabal sebagai Yang Dipertuan Agong ke-11.

Pengasas Masjid Di Raja Sultan Alae’ddin Kampung Bandar adalah Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Raja Muda Musa. Baginda merasmikannya pada 18 Jun 1924. Ia dibina menggunakan duit baginda bagi menggantikan Masjid Raja Muda yang rosak teruk. Masjid berkeluasan 8.58 hektar mampu memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa.

Kira-kira 900 meter dari masjid itu, terletak Makam Diraja Kampung Bandar yang menempatkan makam isteri Sultan Sir Alae’ddin iaitu Cik Hasnah Pilong bersebelahan tapak Masjid Raja Muda.

Terletak di tengah-tengah Bandar Klang, Masjid Bandar Diraja Klang dibina pada 30 Ogos 2003. Terletak bersebelahan Sungai Klang, ia dirasmikan Sultan Sharafuddin pada 11 Disember 2009. Masjid yang dibina di ta-nah seluas 0.75 hektar mampu memuatkan 2,800 jemaah.


Pengarang :