Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang media E-Bazar bersama Shopee di Bilik Gerakan Tingkat 22 SUK, Shah Alam pada 29 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: E-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega dilanjut hingga 15 Disember

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega yang tamat pada 26 November lalu dilanjutkan sehingga 15 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan memberangsangkan terhadap kempen yang digerakkan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

“Tambahan 12 hari lagi diharap dapat membantu mengekalkan momentum kempen ini dan mewujudkan kesan berganda dengan jangkaan impak ekonomi sebanyak RM681 juta hasil daripada baucar berjumlah RM1.9 juta,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata seramai 68,724 peniaga dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta MikroIKS menikmati manfaat sejak program bersama Shopee dan Lazada diperkenalkan.

Selain itu, katanya, program berkenaan berjaya mendigitalkan seramai 14,806 usahawan baharu, mengatasi sasaran awal ditetapkan iaitu 10,000.

“Kerajaan Negeri percaya program imbuhan sebegini akan terus memberdaya usahawan dan mempersiapkan mereka untuk terus cekal dalam pasaran pasca Covid-19 nanti, sekali gus menjayakan agenda digitalisasi seperti digaris dalam Belanjawan Selangor 2021,” katanya.

Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega bermula 26 Oktober lalu dengan peruntukan RM2 juta untuk membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik.

Program itu bertujuan mendorong sektor IKS memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.


Pengarang :