Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 21 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

MB: Hayati semangat memberi, berkongsi

Perutusan Hari Krismas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari

Sambutan Hari Krismas penting bukan sahaja bagi penganut agama Kristian di Selangor, Malaysia malah di seluruh dunia. Krismas, yang diraikan untuk menyambut hari kelahiran Jesus atau dalam tradisi Islam disebut Nabi Isa A.S, mengajak kita menghayati nilai-nilai baik yang universal seperti kepedulian kepada jiran tetangga serta sekeliling, kemurahan hati, dan semangat berkongsi atau disebut “the spirit of giving and sharing”.

Izinkan saya memetik kata-kata Pope Francis baru-baru ini. “Instead of complaining in these difficult times about what the pandemic prevents us from doing, let us do something for someone who has less: not the umpteenth gift for ourselves and our friends, but for a person in need whom no-one thinks of!”.

Dengan mengambil kira semangat ini, Selangor akan terus memberi dan tidak pernah berhenti berkongsi kekayaan negeri untuk semua, terutamanya “the poor and the downtrodden” kerana kita berikrar untuk memastikan tiada sesiapa pun tercicir dalam kemakmuran ini atau yang seringkali disebut: “no man left behind”.

Ternyata, kepayahan dan kesukaran yang dihadapi rakyat amat berat dirasa, lebih-lebih lagi dengan ancaman wabak Covid-19 yang melatari. Justeru, Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Selangor 2021 telah menyediakan banyak inisiatif dalam erti kata membantu mereka yang paling terkesan dan memerlukan.

Inisiatif Data Internet Selangor contohnya, memperuntukkan RM17.5 juta untuk membantu pelajar serta golongan yang memerlukan mendapat perkhidmatan internet pada harga yang berpatutan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian (dua, kanan) dan Uskup Agung, Julian Leow Beng Kim (dua, kiri) bersama wakil gereja selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 21 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) telah ditambah baik dengan peruntukan sebanyak RM62 juta yang turut memberi manfaat kepada 5,000 ibu tunggal, dan Skim Mesra Usia Emas 2.0 yang memberi bantuan khairat kematian RM500 bersekali dengan Jom Shopping SMUE sedia ada untuk para ‘old timers’.

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut tidak dilupakan dengan peruntukan RM3.25 juta. Tidak cukup dengan sekadar memberi, Kerajaan Negeri turut secara agresif menggalakkan pengusaha dan keusahawanan serta keseluruhan aktiviti ‘job creation’. Antara yang utama adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1 ribu untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.

Lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan new skilling, upskilling dan reskilling serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki.

Selain dari ‘the spirit of charity and giving’, sumbangan peribadi tokoh spiritual yang besar seperti Jesus kepada kita semua adalah berkenaan betapa pentingnya untuk kita terus berpegang kepada nilai dan akhlak.

Tahun ini, pelbagai insiden telah berlaku dalam negara dan juga di seluruh dunia. Kita melihat merosotnya kepercayaan atau ‘trust deficit’, malah nilai dan akhlak telah berkurangan dan sekaligus dilihat hampir mereput ataupun berlakunya apa yang disebut sebagai ‘moral decay’ dan akibatnya, kebajikan rakyat menjadi mangsa.

Kita semua seolah-olah hilang kompas moral.Dengan sebab itu, Selangor akan tetap meneruskan agenda reformasi yang digenggam erat selama ini. Keutuhan Kerajaan Negeri membuahkan permuafakatan yang bukan kepalang dan hasil daripada nilai-nilai ‘reform’ seperti ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti dan ‘good governance’ ini, rakyat mendapat nikmat kemakmuran bersama.

Begitulah hasrat kita dalam menyambut Hari Krismas yang membawa harapan kepada masyarakat yang menghadapi pelbagai cabaran, rintangan, dan ketidaktentuan kepada kestabilan dan keharmonian buat semua.

Akhir kata, untuk seluruh komuniti Kristian, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu kepada semua.


Pengarang :