Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kes Covid-19 tinggi punca saringan pekerja asing, terus patuh SOP

SHAH ALAM, 10 DIS: Peningkatan kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini berpunca daripada saringan pekerja warga asing dan program saringan bersasar, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun keadaan masih terkawal dan masyarakat dinasihatkan supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan pandemik itu.

“Selangor mencatat jumlah kes yang tinggi hari ini berpunca dari saringan pekerja asing serta program saringan bersasar yang dilaksanakan oleh majikan dan agensi kerajaan iaitu Kluster Seruling di Klang dan Kluster Hentian di Hulu Langat.

“Keadaan adalah terkawal, kita harus terus patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri utk putuskan perebakan,” katanya Twitter malam ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya di samping bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di Selangor,” katanya lagi.

Hari ini, kes baharu Covid-19 di Selangor mencatatkan angka empat digit iaitu 1,428 jangkitan berbanding 277 semalam.


Pengarang :