Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB sedia tambah dana RiDE jika ramai penuhi syarat

SHAH ALAM, 14 DIS: Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk menambah dana Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) jika ramai pemohon menepati syarat kelayakan.

Dato’ Menteri Besar berkata Belanjawan Selangor 2021 memperuntukan RM2 juta dengan menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat manfaat.

“Kita menerima sebanyak 22,321 permohonan setakat ini tetapi bukan semua cukup syarat serta betul-betul berminat menyertai bidang e-panggilan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan Negeri bersedia umum belanjawan tambahan pada pertengahan tahun depan jika pemohon cukup syarat serta memerlukan pekerjaan melebihi sasaran 3,000 orang.”

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Inisiatif RiDE kepada 100 peserta di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan pada 1 Ogos.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Antara syarikat terlibat ialah Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec), BungkusIt, Zepto Express, Warong Rider dan Foodpanda.


Pengarang :