Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama baucar pelancongan bernilai dua juta ringgit selepas Pelancaran Kempen Pusing Selangor Dulu di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Turut bersama EXCO Pelancongan, Hee Loy Sian (dua, kanan), Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad (kanan), Adun Sekinchan, Ng Suee Lim (dua, kiri) serta Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans (kiri). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin mampu lonjak semula sektor pelancongan negeri

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri yakin sektor pelancongan di Selangor yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 mampu melonjak semula.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kepelbagaian lokasi unik yang terdapat di negeri ini mendorong kemasukan pelancong.

“Selangor memiliki pelbagai tempat unik dan menarik untuk dikunjungi ramai seperti yang dipaparkan oleh statistik 2019.

“Justeru, Kerajaan Negeri mempunyai keyakinan tinggi melonjakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau berkata Tourism Selangor melancarkan Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi menggalak rakyat melancong ke pelbagai destinasi menarik di negeri ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga melaksanakan program penebusan subsidi baucar pelancongan bernilai RM200 setiap seorang sebagai insentif.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan Selangor merekodkan jumlah kedatangan pelawat domestik paling tinggi di Malaysia iaitu 33.6 juta orang pada tahun lepas.

Menurutnya, laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2019 menunjukkan negeri ini mengatasi Kuala Lumpur (22.6 juta pelawat), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).


Pengarang :