Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, 98, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang pada 15 Disember 2020 di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur. Foto: Twitter MB
BERITA UTAMASELANGOR

MB zahir ucapan takziah pemergian Prof Diraja Ungku Abdul Aziz

SHAH ALAM, 15 DIS: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid petang tadi.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Menerima berita duka Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia sebentar tadi. Takziah diucapkan kepada keluarga,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Beliau juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan yang banyak berjasa dan antara sosok terlibat dengan penubuhan Tabung Haji.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menabur bakti. Takziah diucapkan kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” kata beliau.

Ungku Abdul Aziz, 98, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh negara paling disegani.

Sebagai tokoh pendidikan dan ekonomi, Ungku Aziz mencetuskan pelbagai idea praktikal demi memajukan ekonomi khususnya pendidikan dan ekonomi orang Melayu serta umat Islam.


Pengarang :