PBTSELANGOR

MBPJ kompaun ahli jawatankuasa JMB gagal serah dokumen, laporan kewangan

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negeri ini mengenakan kompaun terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang gagal menyerahkan dokumen dan laporan kewangan beraudit kepada Perbadanan Pengurusan (MC).

Unit komunikasi korporatnya berkata menerusi Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), majlis mengkompaun dua ahli jawatankuasa JMB mengikut Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 dengan nilai kompaun RM12,500 seorang.

“Ini menjadikan COB MBPJ yang pertama di Selangor dan kedua di seluruh Malaysia menjalankan penguatkuasaan kompaun bagi kesalahan mengikut Akta 757.

“Akta ini melalui Pengurusan Strata 2013 menetapkan kompaun boleh dikenakan tidak lebih 50 peratus daripada denda maksimum,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya lagi tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan kegagalan JMB berkenaan melakukan penyerahan dokumen serta laporan kewangan dalam tempoh ditetapkan.

“Jika kompaun dibayar, maka tiada prosiding akan dikenakan namun jika sebaliknya Pesuruhjaya Bangunan boleh memulakan pendakwaan tanpa notis selanjutnya.

“Penguatkuasaan ini dapat mendidik, memberi kesedaran dan peringatan kepada pemaju, JMB, MC, ejen pengurusan serta pemilik petak supaya menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan telus dan berintergriti, mematuhi undang – undang seperti yang termaktub dalam akta tersebut,” katanya.


Pengarang :