MBSA membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara di Dewan Liparis, Jalan Anggerik Liparis 31/146, Seksyen 31, Shah Alam pada 19 dan 20 Disember 2020. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA: 62 permit niaga sementara dilulus, bantu penjaja kecil

SHAH ALAM, 29 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan 62 permit penjaja sementara di kawasan selatan bandar raya itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kelulusan itu diberikan semasa pembukaan kaunter permohonan permit itu di Dewan Liparis Seksyen 31 Shah Alam pada 19 dan 20 Disember lalu.

“Ia memudahkan penjaja kecil di sekitar kawasan selatan mendapatkan lesen sementara manakala tapak dikenal pasti untuk tujuan itu di Seksyen 26, 27, 28, 31 dan 35 Shah Alam.

“Pembukaan kaunter ini juga merupakan komitmen berterusan MBSA untuk membantu mereka berniaga secara sah dan mengurangkan beban yang terjejas akibat Covid-19,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Untuk makluman, sehingga 30 November sebanyak 808 permit penjaja sementara telah dikeluarkan di seluruh Shah Alam.

“MBSA berharap inisiatif pembukaan kaunter secara berperingkat dapat memudahkan serta menggalakkan penjaja berniaga dengan kebenaran dan mematuhi peraturan,” katanya.


Pengarang :