EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail (tiga dari kanan) melancarkan majlis pecah tanah Pusat Transit Warga Emas Shah Alam di Kompleks Warga Emas Seksyen 24, Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MBSA PBT pertama wujud pusat transit warga emas

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini mewujudkan pusat transit untuk warga emas.

EXCO Kesejahteraan Bandar berkata pusat meliputi 12 unit rumah dijangka dibina awal tahun hadapan atas tanah seluas 0.8943 hektar dalam kawasan Kompleks Warga Emas Seksyen 24, di sini.

Rodziah Ismail menjelaskan pusat itu dilengkapi kemudahan seperti pusat riadah, aktiviti keagamaan, sosial dan tempat berehat dengan pengawasan rapi.

“Kita mahu warga emas yang selama ini tinggal bersendirian di rumah dapat melakukan aktiviti di pusat ini selain mengurangkan kebimbangan anak-anak terhadap keselamatan orang tua mereka semasa bekerja.

“Apabila siap kelak, pusat ini mampu menempatkan hampir 100 penghuni pada satu-satu masa membabitkan (warga emas) dari seluruh bandar raya ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah pusat transit berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim dan pengerusi Kelab Warga Emas Shah Alam Dato’ Emran Kadir.

Rodziah yang juga ahli dewan negeri Batu Tiga berkata tiada sebarang bayaran dikenakan kepada anak atau ahli keluarga yang mahu menempatkan orang tua mereka di pusat transit berkenaan.

“Ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial MBSA yang diharap boleh dikembangkan ke seluruh PBT Selangor supaya akhirnya menjadi contoh serta rujukan kepada pihak luar.

“Sekiranya sambutan menggalakkan, kita sedia untuk bangunkan (pusat transit) di zon utara dan selatan Selangor,” katanya.

Rodziah berkata pusat tersebut dijangka memulakan operasi pada 2022.


Pengarang :