Wakil Komuniti Rukun Tetangga Al Husna, Seksyen 20 menerima insentif RM 15,000 sumbangan MBSA atas kecemerlangan mendapat tempat pertama bagi kategori Perumahan Bertanah Anugerah Kejiranan Hijau 2020. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA terima pengiktirafan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraih pengiktirafan menerusi empat kategori sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2020.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut memperoleh tempat pertama Kategori Perumahan Bertanah menerusi Komuniti Rukun Tetangga Al-Husna Seksyen 20.

“Komuniti ini juga menerima pengiktirafan Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana melaksanakan konsep kebun kejiranan, sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan, pengkomposan sisa serta amalan kitar semula.

“Selain itu mereka mencipta inovasi Sistem Penggunaan Semula Air Wudhu yang boleh dicontohi oleh komuniti lain di Malaysia,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata Persatuan Penduduk Teres Seksyen 24 Setia, Shah Alam pula menduduki tempat kedua Anugerah Kejiranan Hijau bagi Kategori Perumahan Bertanah.

“Sebagai dorongan dan insentif, MBSA memberi wang berjumlah RM15,000 kepada Komuniti Rukun Tetangga Al-Husna Seksyen 20 manakala Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia menerima RM10,000,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bandar raya tersebut turut menerima sijil Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar (MURNInets) atas komitmen diberikan.

“MURNInets yang dikendali Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) digunakan bagi mengukur tahap kemampanan sesebuah kawasan yang terletak di bawah pentadbiran PBT,” katanya.


Pengarang :