PBTSELANGOR

MBSA tubuh unit khas pantau pusat transit warga emas

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menubuhkan unit khas bagi memastikan pembinaan pusat transit warga emas dilaksana mengikut perancangan.

Datuk Bandarnya Dato’ Haris Kasim berkata unit khas di bawah Jabatan Pembangunan Komuniti (Pikom) dicadangkan semasa sesi pendengaran awam Oktober tahun lalu.

“Pada asasnya, Pikom adalah jabatan yang menguruskan hal komuniti setempat seperti sukan, kebajikan dan kebun komuniti.

“Memandangkan kita belum ada (jabatan) yang boleh bertanggungjawab tentang warga emas, kita akan wujudkan dan beri tugas khusus ini kepada Pikom,” katanya ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Warga Emas di Kompleks Warga Emas Seksyen 24 di sini.

Pelancaran disempurnakan EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail dan turut dihadiri Pengerusi Kelab Warga Emas Shah Alam Dato’ Emran Kadir.

Sementara itu, Haris memaklumkan pusat saluran informasi kepada warga emas bakal diwujudkan bagi menyampaikan maklumat atau pandangan selain melaksanakan aktiviti kebajikan secara berkala.

Pihaknya juga mempertimbang cadangan peruntukan dalam bajet MBSA untuk meringankan kos sara diri golongan itu termasuk penyediaan fasiliti bersesuaian.


Pengarang :