Penguat kuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengunci kilang melebur kuprum yang didapati beroperasi tidak mengikut piawaian JAS pada 27 November 2020. Foto MDHS.
PBTSELANGOR

MDHS tutup kilang lebur kuprum tidak tepati piawai JAS

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menutup kilang melebur kuprum di Kampung Batu Rasa, Hulu Selangor pada 27 November lalu.

Yang Dipertua berkata premis di Jalan Zurah 1, Perindustrian Zurah menjalankan aktiviti melebur kuprum tanpa kelulusan penuh Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Ketika anggota penguatkuasa MDHS berada di lokasi, kilang itu didapati beroperasi tetapi pintu pagar hadapan berkunci dan pengawal keselamatan melarang masuk menyebabkan anggota bertindak memecah masuk premis dengan memotong rantai pintu utama.

“Semasa siasatan dalam premis kita dapati pengukus masih dalam keadaan panas dan cerobong mempunyai asap. Malah, terdapat juga pekerja warga asing telah melarikan diri,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Menurutnya, kilang tersebut diberi notis Penutupan Premis Perniagaan selama 14 hari mengikut Undang-undang Kecil 43(1)(a) dan (b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred,Perniagaan dan Perindustrian(MDHS) 2007.

“Lesen premis turut disita dan digantung selama 14 hari dan notis penutupan ditampal di pintu masuk utama premis termasuk semua pintu turut dikunci.

Beliau menjelaskan MDHS menjalankan pemantauan secara berkala ke atas premis selain meminta kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memotong bekalan elektrik dan air.


Pengarang :