Suasana Medan Selera @15B di Seksyen 15 Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Medan Selera Seksyen 15 mula beroperasi, sedia banyak kemudahan

SHAH ALAM, 14 DIS: Medan Selera @15B di Jalan Soket, Seksyen 15 yang kini berwajah baharu dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula 7 Disember.

Datuk Bandar Shah Alam berkata gerai makanan yang menempatkan hampir 40 peniaga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, tandas dan tempat letak kereta.

Dato’ Haris Kasim menjangka lokasi itu bakal menjadi tumpuan ramai kerana berada pada kedudukan strategik berdekatan kilang dan kawasan industri.

“Usaha sebegini membuktikan komitmen Majlis Bandaraya Shah Alam membantu penjaja tepi jalan khususnya mendapatkan tempat perniagaan lebih baik,” katanya selepas berkunjung ke lokasi itu hari ini.

Medan selera itu turut menempatkan kedai jahitan, kedai kek, kedai menjual barangan kering atau sejuk beku dan kedai produk biodegradasi.

Sementara itu, Haris memaklumkan sebanyak tiga medan selera sedang dibina di U10, U6 dan Seksyen 25 bagi menempatkan lebih ramai penjaja dan peniaga kecil.

Bagaimanapun, beliau berharap kemudahan tersebut dijaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan.

 


Pengarang :