Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin (kanan) serta EXCO Pembangunan Generasi Muda, Belia dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman ketika program bual bicara Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Media sosial imbangi corak pemikiran belia bandar, luar bandar

SHAH ALAM, 1 DIS: Kewujudan rangkaian media sosial yang meluas menjadikan corak pemikiran antara belia bandar dan luar bandar di Selangor hampir seimbang.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata bagaimanapun faktor persaingan dan persekitaran sedikit membezakan pemikiran belia di luar bandar.

“Ekonomi sampingan (gig economy) pada masa kini sangat terkenal. Saban hari teknologi digital bergerak pantas sehingga segala benda menggunakan elemen digital misalnya khidmat penghantaran makanan (e-panggilan).

“Jadi, walaupun daripada segi psikologi hampir sama namun keupayaan belia luar bandar untuk turut serta dalam komponen e-panggilan mungkin dihadkan dengan corak pemikiran kerana keadaan persekitaran,” kata Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Turut sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda, Belia dan Sukan Mohd Khairuddin Othman.

Beliau menyarankan Kerajaan Negeri supaya inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dikembangkan ke luar bandar melalui komposisi berbeza misalnya kepada industri kecil berkepentingan.

“Itu (industri kecil) harus dibangunkan secara berkelompok berbanding di bandar yang diwujudkan secara berasingan atau individualistik.

“Namun, saya percaya ia mungkin memberi cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekonomi sampingan (secara berkelompok) dan jaringan kerjasama di kawasan sektoral penduduk tertentu,” katanya.


Pengarang :