Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Midf Research kekalkan unjuran KDNK 2020 pada -4.8 peratus

KUALA LUMPUR, 1 DIS: MIDF Research mengekalkan unjurannya bagi prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada -4.8 peratus bagi 2020.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ekonomi dijangka terus bertambah baik berdasarkan kepada perkembangan dan petunjuk semasa.

“Bagaimanapun, kami menjangka ekonomi berkembang perlahan-lahan kerana sentimen masih lemah disebabkan peningkatan semula jangkitan kes Cocid-19 di negara ini dan di seluruh dunia, dengan risiko negatif lain seperti situasi politik, peningkatan dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik,” kata MIDF Research.

Di Malaysia, lonjakan kes Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

“Meskipun kami melihat PKPB sekarang kurang ketat berbanding sebelum ini dan kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan untuk terus beroperasi dengan mematuhi tatacara operasi piawai ia masih tetap memberi impak kepada kekuatan permintaan domestik disebabkan sekatan pergerakan fizikal.

“Dengan kata lain, kami menyedari impak utama daripada PKPB ke atas ekonomi adalah disebabkan terutamanya perbelanjaan lemah pengguna dan kesan limpahannya ke atas industri perkhidmatan, terutamanya subsektor berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

MIDF Research berkata meskipun sempadan antarabangsa masih ditutup, sokongan daripada aktiviti pelancongan domestik akan terbatas berikutan PKPB.

“Bagaimanapun, kami percaya risiko kepada penggunaan sedikit sebanyak akan diimbangi oleh peningkatan pembelian secara dalam talian, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan dalam talian seperti e-dompet dan perbankan dalam talian.

“Selain itu, pakej rangsangan yang diumum kerajaan serta penurunan kadar dasar semalaman pada 125 mata asas akan terus menyokong pemulihan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata meskipun peningkatan kes Covid-19 masih menjadi kebimbangan utama, perbelanjaan fiskal dirancang yang digariskan dalam Belanjawan 2021 menyediakan sokongan bagi mencergaskan semula ekonomi Malaysia daripada kesan negatif pandemik global itu.

“Selain itu, pemulihan seterusnya permintaan domestik dan luaran menjadi faktor utama bagi pemulihan menuju ke 2021,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :