AGENDANASIONAL

MOM harap aktiviti sukan dibenarkan semula, sedia patuh SOP

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa kerajaan supaya membenarkan semula aktiviti sukan yang dihentikan sejak Mac berikutan pandemik Covid-19.

MOM dalam kenyataan menerusi laman webnya www.olympic.org.my memaklumkan penggiat sukan bersedia mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat ditetapkan oleh agensi kerajaan berkaitan agar atlet dapat menyambung semula latihan persediaan mereka untuk menghadapi pelbagai pertandingan yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

Perkara itu adalah antara butiran penting yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-195 yang diadakan secara maya hari ini.

Perhimpunan Agung Tahunan ke-39 kemudian diadakan selepas mesyuarat itu dengan ahli MOM meluluskan laporan tahunan 2019 serta akaun yang diaudit untuk tahun berakhir 31 Disember 2019.

Kedua-dua mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden MOM Tan Sri Norza Zakaria dan dihadiri ahli lembaga MOM serta wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Atlet.

Lebih 100 wakil daripada lebih 50 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) menghadiri mesyuarat secara maya itu.

– BERNAMA


Pengarang :