Skrin memaparkan maklumat berkenaan Vaksin Covid-19 ketika sidang media perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan pada 27 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mosti: Vaksin Pfizer berkesan 95 peratus cegah Covid-19

KUALA LUMPUR,17 DIS: Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata laporan itu diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

“Vaksin ini juga mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di sini.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Pengumuman mengenai perkara itu dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) berhubung kos, keberkesanan, liputan vaksin serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu, selain penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer.

-BERNAMA

 


Pengarang :