Nur Athirah Abdul Latif yang berkhidmat dengan syarikat Foodpanda menghantar pesanan kepada pelanggan di sekitar Batu Caves, Gombak. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Motor hadiah Tengku Permaisuri, momen terindah gadis penghantar makanan

LANGSUNG tidak terlintas di fikiran pekerja penghantar makanan untuk menerima hadiah daripada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Apatah lagi, hadiah berupa motosikal Yamaha model LC menjadi penyambung rezeki buat Nur Athirah Abdul Latif, 23, yang hilang kenderaan itu pada 4 November lalu.

Meskipun beliau mulanya sangsi dengan panggilan daripada polis pengiring baginda, bimbang datangnya dari ‘scammer’ atau suatu bentuk penipuan, rupa-rupanya ia menjadi kenangan terindah buat gadis itu.

Masih terngiang-ngiang di telinganya akan suara lunak, mesra dan penuh kelembutan Tengku Permaisuri Norashikin di talian.

Nur Athirah terasa tenggelam dalam lautan kasih sayang dek keprihatinan baginda kepadanya, seorang rakyat biasa yang dirundung walang.

“Walaupun pada mulanya sedikit gemuruh untuk bercakap dengan baginda tetapi perasaan itu cepat hilang sebab tutur kata baginda sendiri sangat menenangkan, mesra dan menghilangkan rasa kekok,” katanya kepada SelangorKini.

Nur Athirah Abdul Latif menerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Titipan baginda – nasihat supaya sentiasa berdoa, menjaga keluarga, bahkan berhati-hati ketika menunggang motosikal ketika musim hujan – membawa makna besar buatnya.

Mendengar butir titah baginda, Nur Athirah terasa ada semangat baharu mengalir ke segenap nadinya. Keluhuran budi baginda sangat dirasai.

Beliau juga agak tersentak apabila baginda, tanpa diduga, memohon maaf kepadanya – seorang rakyat biasa-biasa – kerana tidak dapat menggantikan motosikal model sama seperti yang hilang.

“Paling tidak sangka, baginda pula minta maaf sebab tidak dapat menghadiahkan motosikal model sama seperti yang kena curi disebabkan model itu edisi terhad, tiada dalam stok kedai dan perlu tunggu lama,” katanya penuh teruja.

Sangka ‘scammer’

Sebenarnya, Nur Athirah sebelum menerima panggilan daripada Inspektor Noor Hidayu Aziz diganggu golongan penipu yang mahu mengambil kesempatan atas kesusahannya.

Beliau ada dihubungi seseorang kononnya motosikalnya ditemui di Cheras tetapi mensyaratkannya untuk memasukkan wang RM200 ke akaun bank pemanggil jika mahu mendapatkan semula kenderaan itu.

Mujur, pegawai polis yang menyiasat kes kecurian motosikalnya menasihati Nur Athirah supaya tidak berbuat demikian.

Justeru, apabila dihubungi polis pengiring Tengku Permaisuri, beliau cepat sangsi, takut-takut penipuan berulang dalam taktik berbeza.

“Sampaikan apabila Inspektor Noor Hidayu hubungi saya, maklumkan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadiahkan motosikal, saya mulanya ragu-ragu untuk percaya sebab sebelum itu ada yang cuba ambil kesempatan,” katanya.

Hinggalah Nur Athirah diyakinkan pegawai polis yang banyak membantunya, barulah beliau percaya. Bahkan, sangat gembira.

Beliau kehilangan motosikal Yamaha model LC V6 SE yang digunakan untuk menghantar makanan akibat dicuri ketika beliau mengambil pesanan di Pasaraya Giant Batu Caves, Gombak.

Nur Athirah Abdul Latif tidak dapat menahan air mata ketika menceritakan kisah kehilangan motosikal yang menjadi sumber rezekinya untuk menyara keluarga. Foto SELANGORKINI

Semangat Nur Athirah bagai direntap apabila menyedari satu-satunya motosikal untuk mencari rezeki buat menyara keluarga hilang.

Apatah lagi, motosikal itu baru dibeli kira-kira tiga bulan lalu menggunakan wang hasil titik peluhnya bekerja sebagai pemandu Grab menggunakan kereta yang disewa secara mingguan.

“Perasaan saya begitu luluh. Tanpa menghiraukan orang ramai, saya menangis sepuas-puasnya sampai tidak sedar ada yang mengambil gambar saya dan tularkan.

Selang dua hari kesedihan yang tergambar dalam foto tular di media sosial berganti dengan kejutan lantaran kesudian Tengku Permaisuri Norashikin membantunya.

“Foto yang tular itu sampai ke Tuanku Permaisuri dan masa bercakap dengan baginda, baginda bertitah bahawa baginda sangat tersentuh hati tengok saya menangis,” katanya.

Motosikal pemberian Tengku Permaisuri diserahkan Inspektor Noor Hidayu kepada Nur Athirah di sebuah kedai motosikal di Sri Gombak pada 6 November lalu.

Kepayahan hidup

Sejak di bangku sekolah, Nur Athirah sebenarnya kerap membantu ibunya menyara keluarga, tambahan pula beliau satu-satunya anak yang tinggal bersama.

Ibunya berniaga kedai makan manakala Nur Athirah bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda.

Kakak sulungnya, 24 tahun, belajar di sebuah kolej di ibu kota manakala adik bungsunya, 20 tahun, menuntut di Universiti Selangor (Unisel). Mujur juga adiknya mendapat pembiayaan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor. Nur Athirah menetap di garaj kereta yang diubah suai Allahyarham datuk sebagai kediaman mereka sekeluarga di Kampung Bahtera Wira Damai. Adiknya pula menetap bersama nenek.

“Sejak kecil kami adik beradik tidak tinggal bersama sebab mama dan ayah berpisah masa saya kecil lagi tetapi bila sudah besar saya bersyukur kakak menetap bersama kecuali adik terus bersama nenek tetapi kerap berhubung.

“Rumah yang saya tinggal sejak kecil ini sebenarnya atas tanah kerajaan dan kami harap suatu hari nanti diberi jalan untuk memiliki tanah kediaman sendiri,” katanya yang juga antara 100 penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).


Pengarang :