Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (dua, kiri) bersama Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Selangor Abdul Razak Deraof bergambar bersama bingkai janji memerangi rasuah sempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA2020) peringkat Selangor di Bangunan MPK, Klang pada 9 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK tekad perkukuh integriti, perangi rasuah

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertekad mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerja melalui pelaksanaan program memerangi rasuah.

Yang Dipertuanya berkata program meliputi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), ikrar integriti korporat (CIP) dan ikrar bebas rasuah (IBR).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjelaskan semua program terbabit mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MoU antara MPK dan SPRM bagi membanteras rasuah secara menyeluruh sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap integriti warga kerja kami.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjawab pertanyaan media selepas pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA2020) Peringkat Selangor di Bangunan MPK, Klang pada 9 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Program CIP pula bukan semata-mata menandatangani ikrar tetapi komitmen pengurusan MPK dalam memastikan kakitangan mempunyai integriti tinggi ketika melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa PBT Perangi Rasuah peringkat MPK di Dewan Raja Mahadi di sini hari ini.

Ahmad Fadzli berkata program IBR menekankan janji pihak pengurusan dan warga kerja secara sukarela untuk memastikan setiap individu lebih bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, program memerangi rasuah akan turut diperluas kepada peniaga dan pemegang lesen bagi membentuk budaya niaga berintegriti serta beretika.

“Rasuah dan penyelewengan akan menghalang pembangunan negara selain meluaskan jurang kemiskinan serta menjejaskan hasrat meningkatkan kualiti hidup sejagat,” katanya lagi.


Pengarang :