Orang ramai beratur bagi pemeriksaan suhu, merekod butiran diri dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum masuk ke pasar awam kendalian MPKL. Foto Facebook MPKL
AGENDANASIONAL

MPKL nafi tiada pematuhan SOP di Pasar Awam Banting

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menafikan laporan berhubung tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di Pasar Awam Banting susulan perintah penutupan selama 10 hari bermula 29 Disember lalu.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya mengikut sepenuhnya SOP di semua pasar awam kendalian MPKL termasuk Pasar Awam Banting.

“Antara SOP yang dilaksanakan ialah pemeriksaan suhu kepada semua peniaga, pekerja serta pengunjung, penyediaan cecair pembasmi kuman dan kawalan penjarakan sosial.

“Selain itu, seluruh pasar awam MPKL akan disanitasi secara berkala dua kali seminggu dan tiada keperluan untuk disanitasi tiga kali sehari.

Beliau menambah, polis juga memberi bantuan rondaan di semua pasar awam di daerah itu bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan terdapat 25 kes positif Covid-19 di Pasar Awam Banting dan seramai 101 peniaga disaring hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pasar itu ditutup 10 hari berikutan terdapat individu tidak patuhi SOP seperti tidak menjaga penjarakan, tiada rekod pembasmi kuman tiga kali sehari dan tiada rekod saringan tanda gejala kepada pekerja.


Pengarang :