Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor meninjau keadaan bangunan ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS cadang bina landskap di kawasan kilang haram diroboh

SHAH ALAM, 11 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bercadang membangunkan landskap di semua kawasan kilang haram yang selesai dirobohkan.

Yang dipertuanya berkata perbincangan akan dibuat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri berhubung pembaharuan itu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan di lokasi berkenaan pada masa akan datang.

“Sebelum ini memang kita sudah berfikir ke arah itu (bina landskap). Kawasan ini tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana berpotensi menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab mendirikan bangunan atau premis,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan dua premis haram di Batu 10, di sini yang diketuai PTD Gombak bersama MPS termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, fasa pertama perobohan struktur haram di atas tanah kerajaan dan rizab sungai di sekitar Rawang selesai selepas stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu diambil tindakan semalam.

Ia menjadikan sebanyak lapan struktur terdiri empat bengkel jentera berat, dua premis kitar semula, satu kandang lembu dan bengkel pembuatan pintu sejak 24 November lalu.

Shamsul Shahril Badliza menambah berdasarkan rekod Lembaga Urus Air Selangor (Luas), sebanyak 70 premis beroperasi sepanjang sungai akan diperiksa status tanah sebelum tindakan lanjut diambil.


Pengarang :