PBTSELANGOR

MPS: Daftar bil digital, peluang menang telefon pintar

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 18 unit telefon pintar berpeluang dimenangi pemegang harta di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mendaftar maklumat penerimaan bil digital cukai taksiran.

Bahagian perhubungan awamnya berkata hadiah ditawarkan menerusi program cabutan bertuah sempena pelancaran kempen daftar, bayar dan menang cukai taksiran 2021 serta pelancaran aplikasi MyMPS pada 21 Disember ini.

“Pemegang cukai yang mendaftar dan mengemaskini maklumat di digitalbil.mps.gov.my layak untuk menyertai cabutan bertuah yang diadakan.

“Sebanyak 36,157 pegangan atau pemilik mengemaskini maklumat sebelum 31 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jabatan itu menambah pertukaran kepada bil digital cukai taksiran akan menghentikan sepenuhnya cetakan bil kertas secara pos bermula tahun hadapan.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk menyokong aspirasi Kerajaan Selangor sebagai sebuah negeri pintar selain memudahkan urusan orang ramai.

Orang ramai dipelawa menyaksikan acara tersebut yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook MPS pada jam 3 petang.

 


Pengarang :