Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MSN Selangor harap KBS longgar syarat umur atlet SUKMA

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri Selangor berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan atlet melebihi had umur bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2022.

Pengarah Eksekutif Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah itu memberi peluang atlet yang berlatih sejak dua tahun lepas bertanding pada kejohanan yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

“Atlet menjalani proses latihan yang sangat sukar dengan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi.

“Malah atlet yang sudah sampai had umur menjadikan SUKMA sebagai pentas terakhir untuk membuktikan mereka memiliki potensi ke peringkat lebih tinggi, jadi kita wajar beri peluang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk merangka program latihan baharu untuk atlet pelapis sekiranya KBS enggan meminda had umur.

Had umur untuk penyertaan SUKMA adalah 21 tahun ke bawah, namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.


Pengarang :