Atlet menembak Selangor menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MSN Selangor rancang benar atlet tertentu berlatih sepenuh masa

SHAH ALAM, 30 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor merancang membenarkan atlet bagi sukan tertentu memulakan latihan harian secara sepenuh masa bermula 4 Januari ini.

Pengarah eksekutifnya berkata perancangan itu dengan mengambil kira acara sukan yang memiliki kemudahan dan fasiliti sendiri.

“Sukan disasarkan antaranya renang, menembak, olahraga, tenpin boling, badminton, gimnastik dan gimrama serta beberapa sukan kombat namun kesemua latihan dijalankan perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kebenaran latihan sama bagi sukan lain juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kelmarin, Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin mengumumkan khabar gembira apabila semua atlet kebangsaan tidak lagi menjalani latihan harian secara kuarantin mulai Isnin ini.

Menurutnya, saringan Covid-19 akan dijalankan ke atas atlet terbabit untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau sebaliknya ketika bercuti sebelum dibenar berlatih seperti biasa.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan sektor sukan dan rekreasi dibuka semula berkuat kuasa 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Pengarang :