Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Mufti Selangor: Sah bayar zakat guna Shopee, ikut hukum syarak

SHAH ALAM, 25 DIS: Pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah pada sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan syarikat itu tidak dilantik sebagai amil, sebaliknya hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Beliau berkata proses tersebut juga tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil menambah bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Kenyataan itu susulan pertikaian Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia semalam berhubung peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat.

Presidennya Zamihan Mat Zin turut mempersoal kadar upah diterima portal tersebut, sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau tidak.

Bermula 18 Disember, Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat bagi memudahkan urusan umat Islam negeri ini.

Kaedah sama turut dilaksana pusat pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

 


Pengarang :