AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka lengang, harga mungkin susut

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal lengang minggu depan berikutan kekurangan permintaan, kata para peniaga.

Sebaliknya, penanda aras niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat dijangka diniagakan tinggi berikutan penurunan dolar AS susulan ketidakpastian berhubung prospek ekonomi global, kata seoarang peniaga.

“Para pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan keadaan pasaran global yang tidak menentu.

“Dengan jangkaan ringgit diniagakan tinggi minggu depan, terdapat kemungkinan harga emas akan menyusut,” katanya.

Sementara itu, pasaran emas tempatan ditutup minggu ini tidak diniagakan berikutan kekurangan minat belian.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi kontrak Disember 2020 dan Januari 2021 turun 120 mata setiap satu masing-masing kepada RM252.50 dan RM250.00 segram manakala Februari 2021 susut 180 mata kepada RM231.00 segram dan bulan jauh baharu Mac 2021 berada pada RM231.00 segram.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada satu lot bernilai RM25,000 daripada dua lot bernilai RM49,600 pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 23 kontrak daripada 22 kontrak sebelumnya.

Sementara itu, harga emas fizikal meningkat kepada RM232.29 segram berbanding RM228.96 segram pada Jumaat minggu sebelumnya.

-BERNAMA


Pengarang :