Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lengang minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lengang atau ditutup rendah minggu depan dengan pengambilan untung sederhana kerana para pedagang akan bercuti untuk cuti Krismas dan Tahun Baharu, kata seorang peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Kumpulan Syarikat Interband Jim Teh berkata harganya kemungkinan akan bergerak antara RM3,350 dan RM3,450 satu tan metrik.

“Sama dengan senario tahunan, kita akan lihat beberapa aktiviti mengemaskini akaun syarikat tersenarai awam dan ini akan membantu menaikkan harga minyak boleh dimakan menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, niaga hadapan mungkin meningkat lebih tinggi kerana pengeluaran yang lebih rendah dan simpanan stok yang lebih ketat berikutan eksport Disember meningkat.

Mengulas mengenai cukai eksport MSM yang disambung semula pada Januari, beliau berkata pasaran domestik berada dalam keadaan baik ketika ini walaupun ia dilihat mencabar dalam enam bulan terakhir.

“Bagaimanapun, harga akan terus meningkat disebabkan oleh pengeluaran lebih rendah hingga pertengahan Februari tahun depan pada harga antara RM3,400 dan RM3,550 satu tan,” katanya.

Malaysia telah menetapkan cukai eksport untuk MSM pada 8.0 peratus untuk Januari 2021. Pada Selasa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam satu kenyataan berkata kadar duti eksport 8.0 peratus ditetapkan selepas harga pasaran MSM mencapai RM3,450 satu tan dan ke atas.

Kadar itu akan berkuatkuasa mulai 1 Januari hingga 31 Januari, 2021, menandakan berakhirnya cukai eksport sifar yang dinikmati dari bulan Jun hingga Disember 2020, ia bertujuan untuk meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara lain, terutama India.

Untuk minggu yang baru berakhir, harga MSM kebanyakannya ditutup lebih tinggi, disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh, kenaikan semalaman minyak kacang Chicago, serta pengeluaran dan stok lebih rendah.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, bulan baharu Januari 2021 meningkat RM191 kepada RM3,854 satu tan, Februari 2021 menambah RM180 kepada RM3,715 satu tan, Mac 2021 naik RM125 kepada RM3,569 satu tan dan April 2021 meningkat RM88 kepada RM3,447 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 212,577 lot daripada 266,582 lot pada minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka turun kepada 210,643 kontrak daripada 222,645 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Januari Selatan menokok RM50 kepada RM3,850 satu tan.

Pasaran ditutup pada Jumaat kerana cuti Krismas dan dibuka semula pada 28 Disember.

– BERNAMA


Pengarang :