PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga tradisional, e-dagang wujud bersama teguhkan ekonomi – UOB

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Perniagaan tradisional terus wujud bersama e-dagang, berikutan perniagaan menyepadukan strategi luar talian dan dalam talian untuk mengatasi perubahan dibawa norma baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital.

Ketua Pengurusan Jualan Shopee Zed Li berkata platform e-dagang Shopee telah menerajui dalam menyepadukan lebih 1,000 perniagaan tradisional dengan pusat beli-belah, pawagam, kedai makanan dan minuman (F&B) dan banyak lagi di seluruh negara, untuk mengukuhkan ekosistem dan maju ke hadapan walaupun menghadapi cabaran ekonomi.

“Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik daripada RM89 bilion pada 2015 kepada RM127 bilion atau 8.4 peratus daripada KDNK pada 2019.

“Walaupun sumbangan daripada jualan runcit dalam talian kepada keseluruhan jualan masih kecil, ia mempunyai ruang untuk pertumbuhan yang kukuh,” katanya pada taklimat media mengenai “E-commerce and Brick-and-Mortar to Co-exist for Economic Vigour” melalui youtube hari ini.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata terdapat banyak yang perlu dilakukan berikutan ekonomi mengalami kerugian yang dijangka berjumlah sehingga RM67 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada 2021, menyumbang sehingga 60 peratus daripada KDNK Malaysia.

“Oleh itu, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian perlu mencari jalan untuk menghadapi persekitaran pasca pandemik berikutan kadar pengangguran yang tinggi boleh membawa kepada kuasa beli yang rendah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Jualan Shopee Malaysia Zed Li berkata Shopee akan terus menyokong komuniti perniagaan — sama ada syarikat besar atau peniaga mikro — dengan insentif penjual dan pendidikan e-dagang seperti ‘12.12 Free E-commerce Workshops’ mengenai celik digital dan cara untuk meningkatkan jualan dan pendedahan.

Beliau berkata selain menyokong perniagaan, platform e-dagang itu mendapatkan sokongan untuk golongan yang kurang bernasib baik dan memberi ganjaran kepada pengguna melalui 12.12 Birthday Sale melalui “#ShopeeGivesBack Charity Initiative”.

“2020 membuka mata kita dan menunjukkan kepada kita kepentingan dan keupayaan teknologi yang membawa kepada perubahan positif.

“Kami terus komited menjana pertumbuhan e-dagang pada 2021 dan seterusnya membawa sentuhan manusia kepada membeli-belah secara dalam talian, mewujudkan perjalanan pelanggan yang lancar melalui pembayaran dan logistik bersepadu, libat urus dan pengalaman inovatif yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan perjalanan Shopee,” katanya.

Di samping itu, Shopee turut memperkenalkan jenama baharu acara permainan secara langsung, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran kepada pengguna sehingga RM12,000 secara ‘cold hard cash’.

Diadakan di Shopee Live pada 9 malam setiap Isnin hingga Khamis, dengan sesi khas pada 11-12 Disember, pengguna bertuah diminta menjawab satu soalan mudah dan diberi peluang untuk membuka satu daripada enam kotak.

-BERNAMA


Pengarang :