Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor pada 3 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

OKU diperkasa, pembangunan negeri lebih bererti – MB

SHAH ALAM, 3 DIS: Pembangunan negeri akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan orang kelainan upaya (OKU) terus diperkasakan, kata Dato’ Menteri Besar.

“Isu OKU bukan sekadar kebajikan tetapi merangkumi kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infra yang selesa.

“OKU Berdaya Negeri Sejahtera adalah tema utama yang menjadi agenda besar Kerajaan Negeri. Buat warga Selangor, selamat menyambut Hari Orang Kurang Upaya 2020,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, hari ini.

Hari OKU Sedunia disambut pada 3 Disember setiap tahun dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1992 sementara di Malaysia bermula pada 1994.

Menerusi Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.25 juta bagi program OKU meliputi inisiatif Bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS), Didik AnIS, Cikgu AnIS dan Kelas AnIS.

Antara yang ditawarkan menerusi insentif itu ialah pembelian alatan sokongan, terapi pemulihan anak-anak istimewa, kursus latihan asuhan anak-anak istimewa dan seminar kesedaran untuk kumpulan sokongan ibu bapa kepda anak-anak OKU.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mempertingkatkan peranan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).

Ia bagi mengetengahkan Agenda Pengarusperdanaan OKU menerusi setiap program Kerajaan Negeri ke arah mencapai Selangor Negeri Mesra OKU.


Pengarang :