AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Paip pecah: Bekalan air di 130 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 30 DIS: Semua kawasan di wilayah Klang/Shah Alam yang terjejas bekalan air ekoran kejadian paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 pulih sepenuhnya setakat 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berterima kasih kepada pengguna kerana bersabar dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Kami juga memohon kerjasama pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan kerja pembaikan dilakukan segera,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan semua kawasan terlibat akan menerima bekalan air secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini.

Semalam dilaporkan berlaku kejadian paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15.

Susulan itu, sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang http://www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :