AGENDANASIONAL

Paip pecah di Seksyen 15, 130 kawasan bakal alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 29 DIS: Bekalan air di dua daerah di Selangor akan ditutup pada jam 1 petang ini susulan insiden paip utama pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata penutupan bagi kerja baik pulih menyebabkan gangguan bekalan air di 58 kawasan di Klang/Shah Alam dan 72 kawasan di Petaling.

“Kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini dan bekalan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor menasihati pengguna menyimpan bekalan secukupnya sebelum penutupan dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com atau saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 

 


Pengarang :